LANGKAWI, 9 Oktober 2025:Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia terajui dailog Global Pemulihan Insan dengan menganjurkan International Correctional and Counselling Conference (ICCC2025).
Persidangan bertemakan “Reimagining Rehabilitation: Global Innovations in Counselling and Correctional Practices” ini berlangsung serentak di Akademi Koreksional Malaysia, Langkawi dan Nilai Springs Resort Hotel, Negeri Sembilan yang dihadiri 190 peserta.
Dalam ucapan utamanya, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, YBhg. KJP Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak menegaskan bahawa Jabatan Penjara memainkan peranan penting dalam mengimbangi antara hukuman dan pemulihan bagi membentuk masyarakat yang lebih selamat dan inklusif.
“Incarceration bukan sekadar pemenjaraan. Ia membawa implikasi besar daripada kesesakan penjara, beban kewangan, hingga risiko keselamatan dan kesihatan. “Kita kini bergerak ke arah Integration, peralihan daripada pengasingan kepada pemerkasaan sosial. Ini bermakna memberi peluang kepada bekas banduan untuk kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan baharu Jabatan Penjara kini berteraskan restorasi dan rekonsiliasi, termasuk pelaksanaan Seksyen 43 dan 46 Akta Penjara 1995, peluasan alternatif kepada hukuman pemenjaraan serta pelaksanaan Program Latihan Industri Tanggungjawab Sosial Korporat (CSI) bagi memperkukuh penerimaan sosial terhadap bekas banduan.
Antara matlamat utama inisiatif ini ialah mengurangkan kadar pengulangan jenayah (reoffending), menjadikan bekas banduan sebagai alternatif kepada tenaga kerja asing, serta meningkatkan kesiapsiagaan melalui kemahiran dan sikap positif.
Dato’ Aziz turut menegaskan bahawa kejayaan pemulihan tidak hanya diukur berdasarkan kadar jenayah semata-mata, tetapi pada sejauh mana masyarakat sanggup memberi peluang kedua kepada bekas pesalah.
“Pemulihan sejati berlaku apabila masyarakat membuka hati. Apabila bekas pesalah diterima semula sebagai insan, bukan dihukum selama-lamanya,” katanya.
Persidangan ini turut menampilkan ucaptama kedua oleh Dr. Kimberly Asner-Self dari Touro University, New York, yang berkongsi pandangan tentang kesejahteraan emosi dan keletihan dalam kalangan pegawai koreksional dan kaunselor.
Majlis perasmian ICCC 2025 disempurnakan oleh TKP Charin Promwichit, Pengarah Penjara Negeri Kedah, dan turut dihadiri Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Siti Rozaina Kamsani dan Pengarah ICCC2025, Dr. Ahsani A. Malek.
Sesi petang diisi dengan beberapa bengkel dan pembentangan ilmiah termasuk Support Over Silence oleh Dr. Adnan Omar, Therapeutic Consultation: Solution-Focused Approach and Al-Ghazali’s Perspective oleh Prof. Dr. Noor Azniza Ishak, serta pembentangan oleh Dr. Isabel David dan En. Mohd Syafieq Ismail.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke 68, Akademi Koreksional Malaysia telah menganjurkan Program Semarak Merdeka 2025.
Majlis Perasmian Program Semarak Merdeka 2025 telah disempurnakan oleh Pengarah AKM, TKP Lim Kim Mooi. Program dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu Negeri Kedah serta lagu Bakti Setia dan disambung dengan nyanyian lagu patriotik Keranamu Malaysia dan Jalur Gemilang. Program diteruskan dengan lafaz ikrar Rukun Negara yang dibawa oleh KIP Wan Azmir bin Wan Mustaffa.
Pelancaran Program dimulakan dengan dengan gimik perasmian iaitu penyerahan "Jalur Gemilang" yang dibawa oleh En. Muhammad Farhan Imran dan diserahkan kepada PKP Fauziah binti Husain, Timbalan Pengarah AKM untuk diberikan kepada Pengarah AKM, TKP Lim Kim Mooi dan seterusnya pemasangan bendera di kenderaan. Penyerahan ini adalah simbolik kepada sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang akan disambut tidak lama lagi. Program diteruskan dengan aktiviti sukan iaitu senamrobik serta permainan dart.
Turut hadir dalam program ini ialah PP Mohd Mazairi bin Majid, (Ketua Bahagian Keselamatan Koreksional), PP Nur Raudzah binti Mohamad Shahimi, Ketua Unit Keselamatan & Pembangunan serta barisan pegawai kanan, anggota dan juga kakitangan AKM serta pegawai-pegawai PAROL Daerah Langkawi.
Langkawi, 27 Julai - Program permainan Woodball anjuran PERSIAP AKM & KERES AKM dengan kerjasama Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Langkawi bersama LTA@Kolej Komuniti Langkawi telah diadakan di Laman Woodball LTA Langkawi.
Hadir bersama ialah Penaung PERSIAP AKM iaitu TKP Lim Kim Mooi, Pengarah AKM serta Pengerusi PERSIAP AKM iaitu PKP Fauziah binti Husain, Timbalan Pengarah AKM. Turut bersama ialah Pegawai dari Pejabat Belia Dan Sukan Daerah Langkawi serta Pegawai dari Kolej Komuniti Langkawi. Turut serta ialah ahli PERSIAP AKM dan ahli Kelab KERES AKM.
Program dimulakan dengan klinik asas permainan sukan Woodball dan dimeriahkan lagi dengan gimik pertandingan oleh Penaung PERSIAP AKM sebelum pertandingan bermula. Pertandingan yang melibatkan PERSIAP AKM bersama gabungan Kelab KERES AKM ini berlangsung dengan jayanya serta memberikan pengalaman baru yang amat berharga berkaitan sukan Woodball.
Langkawi, 9 Julai 2025 - Bertempat di Bilik Kuliah Bougenvilla, telah berlangsungnya Majlis Penutupan Kursus Protokol Pengendalian Orang Kenamaan, Motorcade Dan Bodyguarding bagi kakitangan Akademi Koreksional Malaysia.
Majlis Penutupan Kursus telah disempurnakan oleh PKP Fauziah binti Husain, Timbalan Pengarah Akademi Koreksional Malaysia. Turut bersama ialah ASP M. Fakrul Hisham bin Ahmad Radzi, serta dua orang pegawai iaitu ASP Kawhita A/P Subramaniam dan KPL/D Towfeeq Rahman bin Abdul Paru dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah. Turut hadir ialah TPP Md Azrin bin Md Hanafi, Ketua Unit Akademik & Latihan.
Program yang dijalankan di AKM selama 2 hari bermula 8-9 Julai 2025 dan dihadiri seramai 10 orang pegawai AKM. Kursus ini telah dirancang pada tahun 2024 dan dimasukkan dalam peruntukan “in house Training” AKM. Antara pembelajaran yang terkandung dalam kursus ini adalah pengiringan VVIP, protokol dalam pengiringan, punca kuasa bagi menentukan siapa yang di gelar VVIP, penggunaan kenderaan, formasi pengiringan kenderaan dan berkaitan dengan tajuk kursus. Disamping itu praktikal di dalam kelas turut diadakan bagi memperlihatkan secara jelas cara-cara mengiring orang kenamaan dan juga formasi yang diperlukan.
Secara keseluruhannya kursus ini berlangsung dengan baik serta memberikan banyak pengetahuan dan pendedahan berkaitan pengiringan VVIP kepada peserta kursus. Di harapkan para peserta khasnya daripada anggota dan pegawai AKM dapat mengadaptasikannya apabila sesuatu program yang melibatkan orang-orang kenamaan berlangsung di AKM.