Tarikh: 8 Jun 2022 (Rabu)
Masa: 8.00 pagi
Tempat: Jeti Kubang Badak Biogeotrail, Langkawi
 
Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) telah mengadakan siri penanaman terumbu karang & pengalihan terumbu karang (GeoCoral & GeoMarine) di Langkawi. Akademi Koreksional Malaysia telah dijemput bersama menyertai program ini. AKM diwakili oleh TPP Norhanafi bin Nordin, KIP Khazwin binti Khalid, SP Syaiful Hazni Bin Abdullah, Encik Mohd Shaiful Noredzuan bin Mohd Roslan dan Encik Mohamad Adha bin Azali.
 
Siri penanaman terumbu karang & pengalihan terumbu karang (GeoCoral & GeoMarine) telah diadakan sempena Karnival Langkawi Geopark 2022. Penanaman dan pengalihan terumbu karang di sekitar Kubang Badak Langkawi telah disertai oleh hampir 126 orang dengan penglibatan daripada agensi kerajaan, swasta, NGO dan komuniti tempatan. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, En.Sukri bin Deris.
 
Kubang Badak merupakan salah satu kawasan tumpuan pelancong dimana kawasan tersebut mempunyai beberapa tarikan menarik seperti aktiviti ‘mangrove exploration’ dan tinggalan kebuk arang serta keindahan flora dan faunanya. Oleh itu, penanaman terumbu karang dan pengalihan terumbu karang di kawasan sekitar dijangka mampu memastikan hidupan laut terus membiak dan memastikan ekosistem laut sentiasa terjaga dan terpelihara.
 
Sebanyak 800 terumbu karang jenis Acropora Formosa atau lebih dikenali sebagai Terumbu Tanduk Rusa oleh penduduk tempatan di 40 rak telah berjaya disemai. Ini merupakan salah satu kaedah untuk memupuk dan menzahirkan semangat cintakan alam di samping mampu memelihara dan memulihara ekosistem marin yang menjadi habitat bagi hidupan akuatik.