Pada 1 hingga 8 Oktober 2015 Akademi Koreksional Malaysia telah menganjurkan Kursus Advanced Leadership For Correctional Leaders  bagi pegawai-pegawai kanan Jabatan Penjara Malaysia Gred 48 hingga Gred 54 yang baru dinaikkan pangkat. Kursus ini diadakan bagi tujuan mempertingkatkan kemahiran kepimpinan di kalangan barisan pihak pengurusan dan profesional bagi membolehkan  mereka melaksanakan tugas dengan lebih cekap dan berkesan. Kursus ini dipecahkan kepada dua fasa iaitu aktiviti luar dan kuliah. Bagi aktiviti luar, program ini diadakan LISRAM, Lubuk Sembilang, Gunung Raya dan Gunung Mat Chincang, di mana kesemua peserta dan fasilitator dikehendaki mengadakan aktiviti berkhemah. Antara aktiviti yang diadakan semasa aktiviti luar ini ialah jalan lasak, mendaki Tangga Helang Seribu Kenangan  di Gunung Raya, flying fox dan mendaki Gunung Mat Chincang yang dikendalikan oleh fasilitator yang diketuai oleh KPj Dato’ Wan Mohamad Nazarie bin Wan Mahmood, Pengarah Keselamatan dan Inteligen. Sementara kuliah pula diadakan di Akademi Koreksional Malaysia. Majlis penutup bagi program ini telah diadakan pada 8 Oktober 2015 yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penjara Malaysia KJP Dato’ Sri Haji Zulkifli bin Hj. Omar.